Mempertingkatkan keterhubungan, memperkukuh hubungan perdagangan





Oleh : Aimi Sani / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman



MUARA, Isnin, 2 Februari. - Hari ini menyaksikan satu pencapaian penting dalam pembangunan industri logistik di Negara Brunei Darussalam (NBD) apabila NEXT Bahtera Maritime Sendirian Berhad (NBM), iaitu sebuah syarikat usaha sama baharu di NBD di antara Bahagian Pelaburan di Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Dana Modal Pembangunan Strategik dan Network Cross Trade Line Limited (NEXT), mengumumkan pelancaran perkhidmatan baharu ke NBD yang menghubungkan Pelabuhan Muara dengan pelabuhan-pelabuhan utama di Republik Rakyat China, Republik Korea, Republik Indonesia dan Republik Filipina.


Pencapaian berkenaan merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam mempertingkatkan keterhubungan, di samping memperkukuh hubungan perdagangan dan perniagaan antara NBD dan pasaran utama di rantau ini.


Sehubungan dengan itu, Majlis Pelancaran yang berlangsung di Pusat Pelabuhan Muara, Muara Port Company (MPC) berkenaan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.


Hadir sama, Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid.


Juga hadir, wakil-wakil Kedutaan-kedutaan Luar Negara di NBD, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan, rakan-rakan strategik serta pihak berkepentingan.


Pada majlis berkenaan, para tetamu menyaksikan kapal milik NBM, iaitu MV NXT Genesis, serta melaksanakan proses pemunggahan kargonya. Sejak 2024, kapal berkenaan telah pun berjaya menghantar lebih daripada 800 kargo ke negara ini dan dijangka akan menghantar lebih daripada 100 kargo tambahan bulan ini.


Kapal MV NXT Genesis berkenaan berupaya mengangkut pelbagai jenis kargo, termasuk kenderaan, jentera berat, bahan binaan, perabot, produk elektrik serta pelbagai barangan am.


Dengan pengoperasian kapalnya sendiri, NBM mempunyai kawalan terhadap jadual operasi, meningkatkan kebolehpercayaan perkhidmatan serta memperkukuh daya saing keseluruhan pasaran.


Dengan mengendalikan kapal sendiri, NBM mempunyai fleksibiliti dalam pengendalian kargo dan penjadualan, sekali gus menyediakan perkhidmatan yang lebih responsif dan cekap. Inisiatif berkenaan juga melengkapi kerjasama logistik yang sedia ada dengan mengurangkan kebergantungan berlebihan kepada rangkaian perkapalan luar, di samping mengekalkan kerjasama yang kukuh dalam rantaian bekalan yang lebih luas.


NEXT adalah sebuah syarikat subsidiari kepada Syarikat Eastern Car Liner Ltd. yang telah berkecimpung dalam industri perkapalan selama lebih 50 tahun dan ia telah berjaya menghantar barangan eksport dari Republik Rakyat China dan Republik Rakyat Korea ke Asia Tenggara. NEXT juga akan memberi sokongan kepada syarikat NBM dalam membina kemahiran operasi dan keupayaan penghantaran di negara ini.


Dengan usaha sama berkenaan, NBD kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk memperluas akses pasaran, meningkatkan keterhubungan rantaian bekalan serantau, serta meneroka peluang perdagangan baharu dengan daya tahan operasi yang lebih baik dan risiko logistik yang lebih rendah. Seterusnya, ia akan menyokong kepelbagaian ekonomi jangka panjang negara, iaitu selaras dengan Wawasan Brunei 2035.



Close